Sejarah ada mencatat bahawa di saat-saat akhir sampai masa Saidatina Khadijah, isteri pertama Rasulullah s.a.w mengadap Allah, tiada lain yang diungkapkan oleh Saidatina Khadijah melainkan ucapan yang berbunyi, "Wahai rasul utusan Allah, tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah. Andai selepas kematianku, tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini."
Ternyata kata-kata akhir itu begitu menusuk ke jiwa Rasulullah dan betapa sayunya perasaan Rasulullah ketika itu. Hal tersebut turut dikongsi bersama malaikat Jibril yang juga mendengar ungkapan kata-kata tersebut. Jibril lalu naik ke langit bertemu Allah lalu bertanya, "Adakah Allah mendengar kata-kata Saidatina Khadijah itu?" Allah lalu menjawab, "Bukan hanya kata-katanya sahaja yang Allah dengari malah bisikannya juga." Lantas Allah berpesan kepada Jibril untuk menyampaikan salam buat Saidatina Khadijah, wanita yang banyak menyumbangkan hartanya untuk menegakkan syiar Islam.
Jibril turun dan memberitahu Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w menyampaikan salam tersebut kepada isterinya yang tercinta. Sebaik menerima salam tersebut, maka Saidatina Khadijah lalu menjawab, sambil melafazkan bacaan yang begitu masyhur yang sering di baca selepas solat yang berbunyi, "Allaahum ma antas salaam - waminkas salaam, Wa ilaika ya'uudus salam, Fahayyina rabbanaa bissalaam, Wa adkhilnal jannata daara salaam, Tabaa rakta rabbanaa wa ta'aalaita yaa dzal jalaali wal ikraam. (Ya Allah, Engkaulah kesejahteraan, dariMu lah asal kesejahteraan dan kepadaMu pula kembali kesejahteraan, maka hidupkanlah aku dengan kesejahteraan dan masukkanlah aku ke dalam syurga negeri kesejahteraan. Maha Mulia Engkau Ya Allah yang memiliki kemegahan dan kemuliaan.)
No comments:
Post a Comment